Bekas pengikut Al-Arqam lancar kelab elak suami ‘main kayu tiga’

Jun 6, 2011

TERKINI @ 03:22:26 PM 04-06-2011

Oleh Clara Chooi dan Zulaikha Zulkifli
June 04, 2011
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bekas-pengikut-al-arqam-lancar-kelab-elak-suami-main-kayu-tiga/

RAWANG, 4 Jun — Kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing akan membantu mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur — mesej ini yang hendak disampaikan oleh Kelab Taat Suami, yang dilancarkan hari ini untuk mengatasi masalah sosial di seluruh dunia.

Ia dilancarkan di Kelab Golf Perangsang Templer di sini dan bercadang memperluaskan sayapnya ke negara-negara lain seperti Indonesia pada 19 Jun ini.

Malah ia juga bercadang memperluaskan cawangan ke negara-negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman.

Kelab itu diperkenalkan oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam terbuka kepada isteri-isteri semua kaum dan tidak kira kepercayaan.

Ia mendakwa mempunyai kira-kira 1,000 ahli buat masa sekarang dengan 200 daripadanya di Johor sejak dilancarkan di negeri itu 1 Mei lalu.

Baki 800 ahli datang dari seluruh negara.

Menurut kelab itu, 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Ketika ditemui wartawan, naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamad (gambar, kanan)berkata, kaum wanita seringkali lupa bahawa sebagai “isteri yang baik” mereka juga perlu memenuhi keperluan suami di bilik tidur.

“Jika anda melihat di dunia sekarang, wanita dilayan sebagai objek seks … dalam majalah, TV … mengapa tidak mereka jadi objek seks kepada suami mereka? Ia adalah sah dan diharuskan oleh Tuhan.

“Seorang isteri yang baik adalah pekerja seks yang baik bagi suami mereka,” katanya lagi.

Pemimpin wanita sayap kanan Global Ikhwan Sdn Bhd itu juga berkata, selain menggalakkan wanita melayani suami, kelab itu juga akan mengadakan aktiviti seperti sesi kaunseling kepada ahlinya.

“Kita buka ahli kepada semua orang tidak kira bangsa dan agama. Kita akan adakan kaunseling kepada isteri, suami, dan kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Rohaya juga menerangkan kelab itu ditubuhkan bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suami, tetapi memenuhi tuntutan agama.

Katanya, seorang isteri yang solehah perlu memenuhi empat kriteria yang digariskan dalam Islam iaitu sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan diri dan taat kepada suami.

“Kenapa kita tidak mahu buat apa yang disuruh oleh Tuhan? Taat kepada suami. Untuk menjadi isteri yang baik perlu memenuhi keempat-empat kriteria ini. Malah dalam hadis Nabi sendiri ada menyebut, ‘tunaikanlah walau di belakang unta’. Ini apa yang disuruh oleh Allah dan Nabi, jadi kita ikut,” katanya.

Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.

“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.

“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.

Rohaya juga berkata, apa yang kelab ini cuba sampaikan adalah sesuatu yang telah dipraktikkan oleh ahli-ahli Global Ikhwan sendiri.

Beliau juga memberitahu, walaupun kebanyakan ahlinya berpoligami tetapi peratusan penceraian di kalangan ahli itu adalah sedikit.

Malah, ibu kepada lapan orang anak dan isteri ketiga daripada empat itu juga berkata, 30 peratus daripada ahli Kelab Taat Suami juga merupakan pasangan berpoligami dan hampir 50 peratus ahlinya juga datang daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Sementara itu, salah seorang daripada 10 pasangan pengantin itu, Hawari Hamid, 45, yang berkahwin untuk kali kedua bersama pasangannya Nurul Asyikin Sanusi, 22, berkata, beliau menyambut baik kelab tersebut demi keharmonian rumah tangga.

Selain itu ketika ditanya adakah dengan isterinya membenarkan beliau berkahwin dua merupakan salah satu tindakan ‘taat’ seorang isteri, beliau yang juga pengurus syarikat berkata, “dalam Islam dibenarkan suami berkahwin sehingga empat orang.”

“Ini juga salah satu cara untuk isteri tunjuk taat dengan membenarkan suami berkahwin lain. Isteri saya membenarkannya dan Insya-Allah dia seorang yang taat. Dia juga yang membuat urusan perkahwinan saya ini,” katanya.

Hawari yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangag dan hanya dikurniakan seorang anak dengan isteri pertamanya juga berkata, tujuan beliau berkahwin adalah ingin menambah zuriat selain mengikut sunah Nabi.


Perlu disokong bukan dimusuhi

Ogos 12, 2009

Oleh Zulkiflee Bakar
zulkifli.bakar@utusan.com.my

Utusan Malaysia, ahad 9 ogos 2009

”Yang, abang hendak kahwin lagi satu, boleh tak?” Cuba anda bayangkan apa akan berlaku, jika kata-kata ini dilafazkan oleh seorang suami kepada isterinya. Penulis percaya ‘alamatnya’ berlakulah ‘perang dunia ketiga.’

Namun begitu, salah seorang teman penulis pernah menceritakan bagaimana dia mengendalikan keadaan selepas membuat keputusan berkahwin lagi satu.

”Kau jangan risau, paling lama pun sebulan bini kau tak bercakap dengan kau, lepas tu oklah,” katanya berhujah.

Apa pun kita harus akui bahawa sebahagian besar wanita di dunia ini tidak rela dimadu, mereka akan menganggap wanita yang ingin berkahwin dengan suami mereka sebagai perampas suami orang. Poligami yang dibenarkan oleh Allah seolah-olah dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan rumahtangga mereka. Mungkin bagi sesetengah wanita, mereka bukannya tidak rela tetapi mereka tahu setakat mana kemampuan suami mereka…. read more


Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami

Ogos 12, 2009

“Jika jadi pelacur, belumpun tua, kamu sudah tiada nilai,” kata Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI), Hatijah Aam, 54.

KPI dilancarkan secara rasmi minggu lalu dengan matlamat utama ingin ‘menyuburkan’ amalan poligami di kalangan umat Islam negara ini.

Menurut Hatijah yang juga isteri kedua pengasas ajaran Al-Arqam, Ashaari Muhammad, poligami antara jalan keluar untuk golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan lebih baik.

Ketika ditemui di pejabat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, Hatijah berkata, jika sudi berpoligami dan menjadi ahli KPI, golongan pelacur akan diberi bantuan dan dipulihkan.

Menurutnya, pelacur antara sasaran KPI untuk diajak berpoligami kerana ia sebahagian usaha memperbetulkan kepincangan masyarakat dan memperjuangkan poligami yang indah serta halal.

“Kita tiada tujuan apa-apa. Kita kasihan dengan nasib masyarakat kita hari ini, semua orang boleh cerita tetapi apa jalan keluarnya,” kata Hatijah.

Beliau berkata, selain pelacur, dua lagi golongan wanita yang turut dialu-alukan menyertai KPI untuk melaksanakan poligami ialah ibu tunggal dan anak dara lewat usia.

KPI kini mempunyai 646 ahli membabitkan 222 suami dan 524 isteri. Ketika ini semua ahli kelab berkenaan adalah anggota GISB.

Menurut Hatijah, KPI turut dibuka kepada masyarakat luar dan beliau mengakui reaksi diterima sangat menggalakkan.

Begitupun, katanya, kelab berkenaan bukan boleh disertai dengan sewenang-wenangnya kerana ada syarat perlu dipatuhi.

“Syarat utama, suami perlu membawa isteri kerana kita tidak buat di belakang isteri (secara rahsia). Wanita semestinya menentang poligami.

“Sebab itu kita akan beri pemahaman berbentuk kursus dan motivasi untuk tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat tanpa paksaan.

“Yang penting, mereka diberi pemahaman, nanti disiplinnya boleh diikuti dan kerana itu perlu jadi ahli dulu, perlu ikut kursus,” katanya.

Hatijah berkata, satu lagi matlamat penubuhan KPI ialah membantu suami isteri yang bermasalah, terutama dalam usaha melaksanakan poligami…… readmore


Bukan mudah terima madu

Ogos 12, 2009

Harian Metro , Ahad, 09 Ogos 2009

KUALA LUMPUR: “Bohonglah saya jika mengatakan tidak sedih apabila tahu suami mahu berkahwin lagi. Pada mulanya memang saya menangis, tapi saya tetap tabah dan kuatkan semangat.

“Saya yakin pada janji Tuhan bahawa jika kita taat dan melakukan kebaikan, ganjarannya juga baik, sama ada di dunia atau akhirat,” kata Norlia Ahmad, isteri pertama Fakhrurrazi Ashaari, 48, yang memiliki tiga isteri.

Norlia, 45, juga mengaku pada mulanya bukan mudah untuk dia menerima madu, lebih-lebih lagi wanita itu teman sepejabatnya.

“Apabila suami memaklumkan dia bakal berkahwin buat kali kedua dengan rakan sepejabat saya, saya terkejut tapi cuba menerima perkhabaran itu dengan dada yang lapang.

“Saya dan madu memang rapat di pejabat. Saya kemudian memberi sedikit penerangan berkaitan suami serta perkara berkaitannya sebagai tips kepada bakal madu,” katanya yang mempunyai sembilan anak hasil perkongsian hidup dengan Fakhrurrazi yang juga anak sulung pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

Bagi isteri ketiga Fakhrurrazi, Latifah Abdul Kahar, 42, semuanya bermula apabila dia bertugas di pejabat GISB di Indonesia.

“Saya tidak pernah kenal Fakhrurrazi secara peribadi, tetapi menerima jodoh itu dengan hati terbuka kerana Allah SWT dan yakin pasti ada balasan baik sebagai ganjaran daripada-Nya.

“Kini saya gembira dapat bersama dua lagi madu menguruskan rumah tangga, tugas di pejabat, anak dan semua yang ada di sekeliling kami.

“Saya dan madu kini rapat dan terasa seperti kehilangan apabila seorang daripada kami tiada di sisi,” katanya.

Sementara itu, Fakhrurrazi yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif GISB serta Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI) berkata, mustahil tiada masalah berlaku dalam hubungan suami isteri serta antara madunya….. readmore


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.